The Bos Gaurus lancar jersi baharu jenama Kelme

The Bos Gaurus lancar jersi baharu jenama Kelme

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini melancarkan jersi baharu yang akan digunakan skuad Liga Super Perak bagi musim 2020.

Jersi baharu jenama Kelme itu didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi kuning hitam untuk The Bos Gaurus beraksi di gelanggang sendiri, manakala jersi berwarna putih hitam akan digunakan bagi perlawanan di tempat lawan.

Setiausaha Kehormat PAFA Mohammad Azlin Mohd Nazri berkata pada musim ini tiada mana-mana logo penaja akan diletakkan pada jersi pasukan.

“Kita hanya letakkan logo ‘Visit Perak’ dan ‘Pangkor Duty Free Island’ pada jersi pasukan. Ini sebagai promosi secara tak langsung kepada orang ramai untuk datang ke Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi itu di Stadium Indera Mulia, di sini.

Beliau berkata pasukan Perak memilih untuk menggunakan jenama Kelme daripada Sepanyol disebabkan kualitinya yang telah terbukti di peringkat antarabangsa.

“Saya lihat Kelme ini adalah satu jenama antarabangsa dan banyak digunakan oleh pasukan bola sepak luar negara selain dalam La Liga Sepanyol,” katanya.

Mohammad Azlin berkata jersi itu akan dijual kepada orang ramai dan penyokong pada harga berpatutan iaitu RM89 sehelai.

Perak akan memulakan kempen Liga Super musim ini dengan menentang Terengganu pada 29 Feb di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )