Kerajaan Perak perkenal inisiatif baharu perkasa institusi Islam

Kerajaan Perak perkenal inisiatif baharu perkasa institusi Islam

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan beberapa inisiatif baharu bagi memastikan institusi Islam di negeri ini bergerak aktif.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, inisiatif berkenaan termasuklah peruntukan RM5 juta bagi pembangunan umrah kepada 1,000 asnaf terpilih dan RM1.5 juta di bawah program bantuan wang saku 3,000 jemaah haji muassasah.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM500,000 sebagai inisiatif baharu bantuan pengurusan di 25 masjid terpilih, RM100,000 untuk kos operasi pondok warga emas serta RM700,000 di bawah bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Pihak kerajaan juga telah meningkatkan bantuan makanan untuk pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) daripada RM12 kepada RM20 sehari.

“Segala pembangunan ini diteruskan kerana kita ingin melihat kesemua institusi bergerak aktif dan selesa dalam usaha melahirkan lebih ramai pendakwah serta ilmuan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak Ilmuan Islam Negeri Perak di Masjid Negeri Perak di sini hari ini, lapor Sinar Harian.

Program bertemakan Ulama: Islam wa Musolahah itu menampilkan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Muslimin Sedunia, Profesor Dr Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi.

Sementara itu, Asmuni berkata, sesuai dengan konsep dan dasar Rahmatan Lil Alamin yang dibawa kerajaan hari ini, para ilmuan perlu melahirkan idea dan konsep dakwah lebih kreatif bersesuaian mengikut suasana semasa.

Katanya, pendekatan dakwah yang kontemporari dan disesuaikan dengan pelbagai madh’u seharusnya difikirkan agar usaha dakwah dirasakan hidup dan berkembang.

“Pihak kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat agenda-agenda Islam seperti ini khusus dalam menambah baik pentadbiran negara.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya di setiap masjid daerah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )