Prestasi Peminjam AIM Perak wajar dijadikan contoh

Prestasi Peminjam AIM Perak wajar dijadikan contoh

GOPENG: Kadar bayaran balik pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) oleh lebih 33,000 usahawan di seluruh Perak adalah pada tahap 100 peratus, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata prestasi yang memberangsangkan itu wajar dijadikan contoh oleh semua pihak kerana langkah menjelaskan sesuatu pinjaman dapat membantu pihak lain mendapatkan bantuan pinjaman.

“Sejujurnya, sebagai Menteri Besar, ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan buat semua rakyat negeri Perak. Anda adalah contoh teladan yang baik kepada mereka yang bercita-cita menjadi Sahabat AIM.

“Apabila Sahabat AIM yang buat pinjaman membayar balik mengikut jadual, duit itu boleh digunakan pula untuk membantu orang lain yang memerlukan. Ini adalah kitaran positif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Fiesta Usahawan AIM Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini semalam.

Di Perak, AIM beroperasi di tiga wilayah iaitu Perak Utara, Perak Tengah dan Perak Selatan dengan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan setakat ini adalah sebanyak RM241.45 juta.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan sangat menggalakkan para usahawan memanfaatkan kemajuan teknologi bukan sahaja dari aspek meningkatkan produktiviti dan perkhidmatan, tetapi pemasaran dalam digital ekonomi.

“Sekarang tidak semestinya ada kedai atau gerai untuk mula berniaga sebab boleh jual terus secara dalam talian, pasarkan melalui macam-macam aplikasi sebagai contoh, GrabFood dan Food Panda.

“Ini sekaligus membuka pasaran yang sangat luas kepada para usahawan dalam bidang makanan. Mungkin tidak lama lagi, pesanan akan dihantar menggunakan dron. Ini semua tak mustahil dengan kepesatan teknologi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )