Kemuliaan ummah pada masa depan bergantung kejayaan Generasi M – Sultan Nazrin

Kemuliaan ummah pada masa depan bergantung kejayaan Generasi M – Sultan Nazrin


IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung pada kejayaan yang diperoleh oleh generasi muda Muslim atau ‘generasi M’ yang berusia 30 tahun ke bawah.

Titah baginda peranan generasi M amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan serta menjadi penentu arah haluan masa hadapan ummah selain masa hadapan dunia.

Sultan Nazrin bertitah generasi M berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan selain tidak mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data serta dibuktikan relevan dalam dunia semasa.

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara, mereka mengamalkan budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinteraksi.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif apa yang diungkapkan. Melalui talian (internet), mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian serta kesahihan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang bertemakan ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’, di Pusat Konvensyen Casuarina @Meru, di sini, hari ini.

Titah Sultan Perak, generasi M juga memiliki modal intelek, melihat dunia dengan lensa lebih luas dan kompleks selain berpandangan bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan lebih lebar serta luas.

“Generasi M juga memilih untuk berperanan sebagai duta Islam yang membawa suara kesederhanaan, melihat dunia sebagai pentas pertemuan budaya dan bukan pertembungan budaya seterusnya mentafsir kepelbagaian budaya sebagai keindahan yang melambangkan kekayaan ciptaan dan sebahagian lambang kebesaran Ilahi,” titah baginda.

Bagaimanapun baginda bertitah adakah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini berjaya mendampingi majoriti Generasi M atau mereka semakin menjauhkan diri.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah agar generasi dewasa memahami pemikiran dan jiwa generasi M selain mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting termasuk memberikan ruang lebih besar selain menghulurkan bantuan serta dorongan agar kumpulan tersebut berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah agar generasi muda Islam menjadi ejen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu serta kekal dengan pegangan akidah dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam seterusnya menjulang kemuliaan ummah.

Mengenai muzakarah itu, Sultan Nazrin bertitah agar ia dapat melakukan analisis secara jujur, memeriksa keberkesanan, produktiviti dan impak yang dihasilkan melalui kaedah pengajaran al-Quran yang diamalkan oleh masyarakat Islam dalam mengangkat kemuliaan ummah.

“Ia sama ada boleh mengupayakan insan memahami, mendalami, menghayati perkara-perkara yang tersirat di samping yang tersurat serta berupaya memperlengkap minda umat Islam menguasai pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi perkembangan sosial, perdagangan, sains, kejuruteraan dan teknologi dunia semasa,” titah baginda.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )