Exco Kerajaan Perak beri sokongan padu kepada Ahmad Faizal

Exco Kerajaan Perak beri sokongan padu kepada Ahmad Faizal

IPOH: Barisan Exco Kerajaan Perak hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sah, pendirian mereka tetap teguh kepada Ahmad Faizal untuk terus memimpin pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

“Kita masih lagi kerajaan dan Ahmad Faizal masih lagi Menteri Besar atas sokongan Exco dan ADUN lain, sudah tentu kami terus menyokong beliau sebagai menteri besar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, ketika ini barisan Exco dan kepimpinan negeri sepakat untuk memberi ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu menjelaskan kedudukan terkini pentadbiran.

“Mesej terakhir beliau kepada kami adalah terus kekal dalam status quo yang ada…itu sahaja.

“Oleh kerana semalam Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) buat keputusan keluar dari PH, boleh jadi beliau perlu dapatkan penjelasan pucuk pimpinan terlebih dahulu sebelum datang kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, menurut laporan Sinar Harian, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan memaklumkan PH kehilangan majoriti kerusi di Perak.

“Kami masih lagi Exco di bawah pimpinan Ahmad Faizal dan perlu menjalankan tugas seperti biasa sehinggalah ada satu ketetapan dibuat nanti,” katanya.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong pula berkata, tiada sebarang perbincangan lanjut dibuat di peringkat pentadbiran negeri berhubung kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Katanya, mereka tidak mendapat sebarang makluman kedudukan pentadbiran baik daripada pihak Istana mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya tidak fikir akan berlaku sabotaj kerana sejak PH mentadbir, sokongan kami tetap sama menyokong Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak,” katanya.

Bagi Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Wong May Ing, program kerajaan negeri yang telah diatur tetap dilaksanakan seperti mana ditetapkan.

“Saya dimaklumkan Mesyuarat Exco esok telah ditangguhkan, namun program di bawah portfolio masing-masing tetap diteruskan.

“Pagi ini pun ramai kalangan Exco masuk ke pejabat jalankan tugas seperti biasa, ini sebagai tanda sokongan kami kepada pentadbiran Menteri Besar,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )