PH sebulat suara namakan Anwar Perdana Menteri Ke-8

PH sebulat suara namakan Anwar Perdana Menteri Ke-8

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang terdiri daripada AMANAH, Keadilan dan DAP semalam telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Ke-8.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Majlis Presiden pada semalam juga telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan adalah dirinya.

“Pakatan Harapan kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial.

“Kami tidak akan mengkhianati amanah ini dan kami juga tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR semalam.

Ditanya tentang jumlah bilangan kerusi yang dimiliki PH pada ketika ini, Anwar menyifatkan ianya tidak sesuai dibincangkan.

“Soal nombor (bilangan kerusi) tidak sesuai dibincangkan kerana dianggap sebagai tidak sopan kerana keputusan terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Yang lain saya ulang, kita harus hormati kebijaksanaan dan keputusan Tuanku mengikut perlembagaan yang ada,” katanya.

Semalam BH melaporkan, sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnin lalu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )