PM: Tak perlu sidang khas, Agong boleh lantik – peguam

PM: Tak perlu sidang khas, Agong boleh lantik – peguam

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang menegaskan Dewan Rakyat bukanlah tempat untuk menetapkan siapa perdana menteri.

Mohd Fitri Asmuni berkata, Dewan Rakyat ialah tempat untuk menentukan sama ada perdana menteri yang telah dilantik itu mempunyai sokongan majoriti ahli dewan atau pun tidak melalui undi tidak percaya.

Katanya, jika majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuat undi tidak percaya kepada perdana menteri tersebut, beliau harus meletakkan jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk dewan rakyat dibubarkan.

“Apa yang terjadi sekarang ialah, Perdana Menteri masih belum dilantik lagi. Yang ada sekarang hanyalah Perdana Menteri interim. Jadi, tiada keperluan untuk adakan sidang khas dewan rakyat kerana Perdana Menteri pun belum dilantik.

“Sekarang apa yang perlu dibuat ialah, YDPA harus menggunakan budibicara Baginda di bawah Perkara 40(2) dan 43(2) Perlembagaan Persekutuan untuk lantik Perdana Menteri yang baru dulu.

“Lantikan itu boleh dibuat di kalangan ahli dewan rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat,” katanya ketika dihubungi Perak Insights.

Katanya, YDPA boleh melantik Perdana Menteri bersandarkan kepada calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat yang dipanggil mengadap Baginda selama dua hari itu.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan sidang khas Dewan Rakyat untuk menentukan perdana menteri baharu.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memanggil ke semua 222 ahli parlimen untuk menghadap di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Mohd Fitri yang juga Pengerusi Biro Kanun (Undang-Undang) Pemuda AMANAH Nasional menegaskan, tidak perlu kepada sidang khas dewan rakyat untuk menentukan siapa yang layak jadi perdana menteri.

Jelasnya, calon perdana menteri yang mendapat undian tertinggi semasa menghadap YDPA layak dipilih menjadi perdana menteri.

Selepas itu, katanya, perdana menteri tersebut boleh membawa ke persidangan Dewan Rakyat bagi menentukan sama ada beliau mendapati sokongan majoriti atau sebaliknya.

“Jika beliau tidak mendapat sokongan majoriti, beliau boleh umum letak jawatan atau membubarkan parlimen,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )