Faizal Azumu jangan lupa jasa dan pengorbanan sahabat seperjuangan

Faizal Azumu jangan lupa jasa dan pengorbanan sahabat seperjuangan

IPOH: Pemimpin masyarakat akar umbi mengingatkan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu agar tidak sesekali lupa jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat seperjuangan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chepor Dalam, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, biarpun Ahmad Faizal satu-satunya calon yang menang mewakili partinya di dalam PRU14, beliau disokong sepenuhnya untuk mengetuai Kerajaan Negeri Perak.

Kata beliau, walaupun pelantikan beliau sebagai menteri besar pada awalnya tidaklah disenangi, tetapi pemimpin lain berjiwa besar untuk terus memberi sokongan dan kerjasama kepada beliau dalam menggalas amanah serta mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Beliau (Ahmad Faizal) jangan sesekali lupa pengorbanan dan jasa para pemimpin Pakatan Harapan.

“Atas perjuangan dan pengorbanan merekalah anda sampai di puncak kejayaan untuk mengetuai sebuah kerajaan,” katanya kepada Perak Insights.

Ahmad Shafiq berkata, hasrat Adun Chenderiang itu untuk ‘mengkhianati’ rakan seperjuangan dengan pembentukan kerajaan bersama Umno dan Pas merupakan satu perkara yang sangat mengecewakan.

Beliau tidak menyangka Ahmad Faizal sanggup untuk mengkhianati rakan seperjuangan yang sentiasa bekerjasama dengan utuh di dalam kerajaan, menampung kekurangannya dan mempertahankannya tidak berbelah bahagi semasa beliau ‘diserang’ oleh pembangkang.

“Kini beliau ingin bersama dengan pihak yang beliau sendiri label sebagai kleptokrasi dan sebagainya.

“Segala yang buruk Umno beliau sanggup telan demi kepentingan individu, dan segala kebaikan sahabat yang bersama susah senang sanggup dilupakan,” katanya.

Hari ini, Menteri Besar Perak itu memberi bayangan beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk kekal sebagai menteri besar Perak dan akan menubuhkan kerajaan baru bersama Umno dan PAS.

Katanya, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini untuk memaklumkan perkembangan terkini kerajaan negeri susulan pembentukan kerajaan baru di Putrajaya di bawah pimpinan perdana menteri ke-8.

“Saya nak balik menghadap Sultan Perak,” katanya ketika ditemui di kediaman Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, Bersatu bersama Pas dan Umno akan mengadakan perbincangan lanjut untuk membentuk kerajaan baru di Perak

“Saya akan bincang (bentuk kerajaan baru dengan Pas, Umno dan Bersatu), saya akan umumkan,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )