Tun M tegas tidak mahu kerjasama dengan Umno

Tun M tegas tidak mahu kerjasama dengan Umno

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bekerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen Umno yang sedang berdepan kes salahguna kuasa dan rasuah.

Menurutnya, hal itu berbeza dengan Perikatan Nasional yang diketuai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam gabungan di bawah Tan Sri Muhyiddin terdapat beberapa Ahli Parlimen yang masih berjalan kes pendakwaan berkaitan pecah amanah dan rasuah.

“Inilah yang menyebabkan Tun Dr Mahathir tidak boleh bekerjasama dengan Ahli Parlimen dari Umno yang mempunyai kes-kes pendakwaan yang sangat jelas.

“Datuk Seri Zahid Hamidi (ada) 74 kes pendakwaan rasuah, pecah amanah. Datuk Seri Najib masih lagi berjalan kes dan saksi pendakwaan jelas menyaksikan penglibatan secara langsung dalam pendakwaan tersebut,” katanya, lapor Malaysia Dateline.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu berkata, Pakatan Harapan (PH) masih lagi mempunyai majoriti 112 Ahli Parlimen yang memberi akujanji untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Kita masih memegang 112 kerusi itu adalah majoriti Ahli Parlimen menyokong Pakatan Harapan. Prinsip kami jelas mengangkat mandat rakyat iaitu menolak kerajaan kleptokrasi.

“Inilah yang sering kita katakan kepada rakyat bahawa Malaysia ini perlu dibebaskan daripada perasuah-perasuah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hasnul menyeru rakyat bersama-sama PH yang tetap berprinsip untuk menolak pengkhianat.

“Kerajaan ini ialah kerajaan rakyat. Pilihan rakyat adalah menolak kleptokrasi dan perasuah.

“Mana-mana parti atau pun pimpinan yang mendapat sokongan majoriti, beliau selayaknya diangkat sebagai Perdana Menteri,” tambah Hasnul lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )