Umno Perak dedah ada Adun akan lompat sokong kerajaan baru

Umno Perak dedah ada Adun akan lompat sokong kerajaan baru

IPOH: Umno, Pas dan Bersatu Perak bersetuju untuk bekerjasama membentuk kerajaan negeri mengikut acuan yang dicapai di peringkat pusat, menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata pihaknya dan PAS telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara itu.

Saarani, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, berkata beliau telah bertemu Ahmad Faizal selaku Pengerusi Bersatu Perak hari ini.

Beliau berkata secara dasar, ketiga-tiga parti kini memiliki jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri bersama UMNO yang menguasai semua 25 kerusi Barisan Nasional (BN) manakala PAS (yang memiliki 3 kerusi), Bersatu (2) dan Bebas (1) menyokong usaha itu.

“Selain itu, difahamkan ada seorang lagi Adun akan meninggalkan partinya dan menjadi Bebas tetapi menyokong kita,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Paa Perak Razman Zakaria ketika dihubungi turut mengesahkan persetujuan membentuk kerajaan negeri bersama-sama dengan Umno dan Bersatu, namun enggan mengulas lanjut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu terdiri daripada DAP, AMANAH, Keadilan dan Bersatu berjaya memperoleh 29 daripada 59 kerusi DUN Perak manakala BN (27) dan Pas (3), namun tiada parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri kerana tidak mempunyai majoriti mudah iaitu 30 kerusi.

Bagaimanapun, PH berjaya mendapat mandat selepas dua ADUN BN meninggalkan parti dengan seorang daripadanya menyertai Bersatu manakala seorang lagi memilih menjadi Bebas tetapi menyokong Bersatu.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )