Faizal Azumu lebih selamat jika bersama PH di Perak

Faizal Azumu lebih selamat jika bersama PH di Perak

PENDAPAT | Melihat kepada suasana krisis politik pada ketika ini, Perak tidak terkecuali terus bergolak apabila satu demi satu masalah timbul dalam gabungan baru yang disertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu.

Pada hari ini sudah mula kedengaran permintaan daripada sayap Puteri UMNO Perak yang menuntut agar kerusi Menteri Besar diberikan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad. Permintaan sama dizahirkan oleh semua Ketua Bahagian UMNO.

Melihat kepada situasi ini, tuntutan tersebut adalah berasas memandangkan UMNO mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan itu, dan Bersatu hanya mempunyai dua kerusi.

Situasi ini sebenarnya tidak memberi apa-apa manfaat kepada Bersatu apatah lagi sebagai sebuah parti baharu Faizal memerlukan kedudukan yang berpengaruh untuk memperkembangkan partinya.

Dalam hal ini, Bersatu sudah semestinya perlu mengalah atas kedudukannya sebagai parti yang kecil dan mempunyai wakil paling sedikit dalam Dewan Undangan Negeri.

Bersatu bukan sahaja perlu bersaing bersama UMNO tetapi juga PAS yang mempunyai nafsu politik tidak kurang hebatnya dengan UMNO.

Berbeza sekiranya Faizal bersama PH di mana beliau mendapat kedudukan yang tidak terancam langsung malah boleh mengekalkan seluruh lantikan politik dan anak-anak buahnya daripada Bersatu di peringkat bawah.

Seandainya masalah dalam parti menjadi punca beliau berpaling tadah, sehingga kini beliau masih mempunyai sahabat yang setia mempertahankan beliau dari awal pelantikannya sebagai Menteri Besar terutamanya dalam kalangan AMANAH iaitu YB Dato’ Hj Asmuni Awi dan YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Malah YB Howard Lee, Ketua DAPSY Malaysia, YB Paul Yong dan YB Sivanesan daripada DAP juga antara yang sentiasa melihat Faizal sebagai Menteri Besar yang boleh dibawa berbincang.

Justeru, dalam hal ini, Faizal tidak mempunyai sebab untuk mengambil keputusan berbeza dengan sahabat karibnya YB Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir. Beliau boleh sahaja menjadikan kebijaksanaan Mukhriz sebagai panduan dengan mengekekalkan untuk bekerjasama dalam PH, meneruskan mandat rakyat.

Melainkan, beliau melihat tawaran kedudukan atau jawatan yang lebih memukau daripada bos barunya dan melupakan semua penyokong-penyokongnya di Perak ini.

Maka sebab itu, saya dengan sepenuh hati yang ikhlas menyampaikan pendapat saya kepada beliau, kembalilah kepada Tun Mahathir dan Mukhriz, bekerjasama bersama PH. Sekali gus dapat meredakan semula kekalutan yang berlaku di negeri ini dan meneruskan agenda yang dibina bersama PH untuk kita laksanakan janji-janji kita kepada rakyat.

KHAIROL NAJIB BIN HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Perak

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )