Kerajaan Perak giat laksana teknologi mesra alam

Kerajaan Perak giat laksana teknologi mesra alam

KUALA KANGSAR: Kerajaan Negeri Perak menyeru semua pihak untuk turut serta dalam menggerakkan agenda menangani krisis perubahan ilkim.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri sedang giat berusaha dalam mengaplikasikan teknologi-teknologi mesra alam.

Katanya, kerajaan negeri memberi fokus kepada penghasilan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti pemasangan panel solar di premis-premis kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, selain teknologi ‘waste to energy’.

“Usaha juga sedang digerakkan bagi mewujudkan program wakaf dan sumbangan panel solar untuk masjid-masjid dan rumah ibadat di negeri ini.

“Program yang bertujuan mempromosikan teknologi hijau ini juga, berfungsi sebagai serampang dua mata untuk menjana pendapatan kepada masjid-masjid dan rumah-rumah ibadat di negeri Perak,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya, dekat sini, hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Beliau menjelaskan kerajaan juga telah merancang dengan menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat.

“Buat permulaan, Kerajaan Perak telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menukar kesemua teksi merah jambu di pulau berkenaan dengan van berkuasa elektrik.

“Perkara ini dapat dilaksanakan melalui bantuan peruntukan khas yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri ke-7, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Disember yang lalu,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )