Contohi Kedah demi pertahan mandat rakyat, tegas pemimpin Bersatu bahagian

Contohi Kedah demi pertahan mandat rakyat, tegas pemimpin Bersatu bahagian

IPOH: Kerajaan Negeri Perak perlu mengekalkan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) yang lalu.

Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Gerik, Mohd Fadzil Abdul Aziz berkata, di dalam situasi sekarang, Perak mestilah mengambil contoh pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah iaitu gabungan Pakatan Harapan dan Bersatu bagi meneruskan amanah yang telah diberikan.

“Kami daripada Penyelaras Dun berharap supaya kita kekal kepada prinsip dan mandat rakyat seperti Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ingatkan kepada kami supaya kekal berintegriti dan utamakan rakyat.

“Semangat inilah menjadi jati diri kami sejak sebelum memerintah lagi, inilah prinsip yang sentiasa didokong.

“Saya akui, jawatan dan kuasa itu adalah satu ujian tetapi mandat serta hak rakyat itu perlu kita pertahankan,” katanya ketika ditemui di program Semban Santai anjuran Unit Komunikasi Strategik di Kampung Tengku Hussien semalam.

Penyelaras Dun Temengor itu menjelaskan, sekiranya Bersatu mengambil keputusan untuk menubuhkan kerajaan bersama Umno dan Pas, ia akan memberi kesan di peringkat akar umbi.

Katanya, antara yang menerima kesannya ialah wakil Bersatu di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Penyelaras Dun, dan lantikan di badan-badan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kami lebih suka Bersatu Perak mengambil pendirian seperti di Kedah iatu mentadbir bersama-sama rakan seperjuangan yang telah berjuang sejak sebelum pilihan raya lagi.

“Konsep ini boleh digunapakai di Perak,” tegasnya.

Beliau sangat mengaharapkan kebijaksanaan Ahmad Faizal dalam mendepani dan menangani polemik ini.

“Harapan saya kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal supaya ingat bagaimana Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah layan beliau seperti anak mereka sendiri.

“Kedua-dua mereka tidak pernah sesekali mengajar kita untuk mengkhianati hak rakyat.

“Dengarlah suara hati akar umbi, ambil masa untuk solat istikharah dan fikir sedalam-dalamnya kesan dan akibat daripada tindakan hari ini dan kesannya pada masa yang akan datang.

“Pada saya prinsip jelas, biar kita mati bergalang tanah, tetapi jangan sesekali kita rosakkan kepercayaan rakyat,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )