Jangan biar kerajaan Perak tergantung terlalu lama

Jangan biar kerajaan Perak tergantung terlalu lama

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dinasihatkan tidak membiarkan negeri ini dalam situasi kerajaan tergantung terlalu lama.

Pengerusi Veteran Umno Perak, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir berkata, keadaan seperti ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat kerana akan memberi kesan kepada faktor perpaduan dan pentadbiran hingga ke peringkat paling rendah.

“Ini soal pentadbiran negeri sudah tentu rakyat tertunggu-tunggu, bukan sesuatu yang boleh dibuat main, mana-mana kerajaan pun tidak boleh dibiarkan tergantung lama.

“Jadi sebagai pemimpin yang duduk di kerusi Menteri Besar, beliaulah yang perlu ke hadapan nyatakan pendirian.

“Sekarang ini, keadaan jadi tak menentu, ketua kampung pun susah nak buat kerja sebab tak pasti masih berjawatan atau tidak,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, situasi yang berlaku kini berbeza berbanding krisis pentadbiran sebelum ini kerana ia berpunca daripada pihak kerajaan sendiri.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu melengahkan-lengahkan urusan pembentukan kerajaan walaupun dengan majoriti mudah.

“Jika beliau mahu dilihat selari dengan pentadbiran Pusat, maka saya kira tentulah gabungan bersama Muafakat Nasional dengan majoriti mudah 30 kerusi,” katanya.

Sehingga kini, kedudukan kerajaan Perak masih kabur berikutan keputusan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) menjadikan gabungan itu kehilangan majoriti daripada 30 kepada 28 kerusi.

Ketika ini, Barisan Nasional (BN) Perak mempunyai 25 kerusi, Pas (3), Bebas (1).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )