Lebih sejam berdiri depan pagar rumah, Hasnul mahu dapat penjelasan MB

Lebih sejam berdiri depan pagar rumah, Hasnul mahu dapat penjelasan MB

IPOH: Tindakan berdiri lebih satu jam di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Perak hanyalah untuk mendapat penjelasan berkaitan perkembangan politik di negeri ini.

Exco Kerajaan Negeri Perak Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, beliau mahu tahu dari mulut Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri pendiriannya tentang kedudukan Kerajaan Negeri Perak ketika ini.

“Kenapa saya berdiri di depan rumah Menteri Besar semalam? Dari 2.30 petang sehingga 3.45 petang saya berdiri depan rumah Datuk Seri MB.

“Semata-mata untuk mendapatkan pandangan dan pendirian beliau tentang kerajaan Perak terkini.

“Ada yang cakap, apalah YB Hasnul berjam-jam berjemur tengah panas nak jumpa MB. Awok dulu bereformasi tengah panas, tiada masalah. Yang pentingnya, membawa suara rakyat, kita nak dengar dari MB,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Sembang Santai @Tengku Hussein disini semalam.

Hasnul menjelaskan, biarpun gagal bersemuka dengan Adun Chenderiang itu, beliau berpuas hati kerana Ahmad Faizal menghubunginya semula selepas beredar daripada kediaman rasmi itu.

Dakwanya, Ahmad Faizal mengakui masih mahu bersama rakyat yang memilih Pakatan Harapan.

“Alhamdulillah saya dihubungi MB selepas saya balik. Dia cakap, Hasnul saya tahu awak di luar pagar, menunggu untuk jumpa saya. Tetapi saya ini tidak berkemampuan lagi kerana agak sukar untuk memberi jawapan.

“Tetapi hati saya ini tetap bersama rakyat yang memilih kerajaan Pakatan Harapan. Saya balik dalam keadaan lega,” jelasnya.

Kata Hasnul, beliau akan berkhidmat dan meneruskan program kerajaan negeri selagi Ahmad Faizal masih tidak membuat apa-apa perubahan dan pengumuman.

“Saya tak marah. Saya faham nak jadi pemimpin ni bukan mudah. Alhamdulillah saya mendapat khabar gembira. Kerajaan ini dapat diteruskan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )