Bersatu Tanjung Malim gesa Ahmad Faizal terus galas mandat rakyat bersama PH

Bersatu Tanjung Malim gesa Ahmad Faizal terus galas mandat rakyat bersama PH

TANJUNG MALIM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Malim menggesa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meneruskan amanah menggalas mandat rakyat menerajui Kerajaan Negeri Perak bersama Pakatan Harapan.

Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim berkata penubuhan Bersatu adalah untuk menumbangkan kerajaan kleptokrat dan menyelamatkan negara daripada kerajaan rasuah dan murah integritinya.

Beliau berkata, usaha Bersatu untuk kembali bersama seteru iaitu Barisan Nasional yang berjaya ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu hanya membawa kekusutan dan kekeliruan arah politik parti tersebut.

“Tindakan itu menyalahi hasrat majoriti ahli-ahli Bersatu Tanjung Malim serta juga rakyat yang telah menyokong kita (Bersatu).

“Bersatu Tanjung Malim berharap agar pimpinan Bersatu Perak segera menetapkan pendirian untuk terus bersama Pakatan Harapan.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyelaras Dun Slim itu berkata, jentera pentadbiran kerajaan negeri harus mendapat penjelasan segera berkenaan hala tuju politik negeri agar pelaksanaan agenda rakyat tidak terjejas.

Tambah Amran, penjelasan sama juga harus diberikan segera agar kerja-kerja menguatkan parti dalam usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang tidak terjejas.

“Meminjam kata-kata Ayahanda Tun Dr Mahathir, politics is not “be all and end all” begitulah juga hasrat kami Bersatu Tanjung Malim.

“Kebersamaan Bersatu Perak dengan UMNO dan PAS di saat percaturan politik ini hanya mengundang tanggapan rakyat, terutama pengundi kita, sebagai mementingkan kuasa dan ganjaran semata.

“Sedangkan politik Bersatu adalah politik era Malaysia Baru, sebagai alat untuknya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat dengan beramanah dan bermaruah,” katanya yang turut menzahirkan sokongan kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar dapat terus memimpin Bersatu sebagai pengerusi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )