Dakwaan ada Adun PH lompat hanya perang psikologi

Dakwaan ada Adun PH lompat hanya perang psikologi

IPOH: Khabar angin kononnya terdapat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri Perak yang akan ‘lompat’ dan menyertai gabungan Perikatan Nasional adalah tidak benar.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Tan Kar Hing berkata, ia hanyalah ‘perang psikologi’ yang diwujudkan dalam cubaan untuk mengganggu konsentrasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya menafikan laporan media yang menyebut akan ada Adun Pakatan Harapan (PH) Perak yang akan keluar parti dan menyertai gabungan Perikatan Nasional.

“Pada pandangan saya ia hanyalah perang psikologi yang cuba dilakukan oleh pihak lawan. Supaya kononnya dapat mengganggu konsentrasi Menteri Besar. Saya ingin tegaskan bahawa PH Perak masih utuh bersama,” katanya lapor Perak Today.

Adun Simpang Pulai itu berkata, sehingga kini PH negeri masih kekal dengan pendirian dan sokongan mereka kepada Ahmad Faizal untuk terus menerajui kepimpinan di Perak.

Beliau juga memaklumkan kesemua barisan Exco Kerajaan Perak masih lagi menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.

“PH Perak masih kekal menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal untuk menjadi Menteri Besar dan terus menjaga mandat serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kita masuk ke ‘medan peperangan’ ini bersama-sama dan kita juga melawan Umno-Barisan Nasional (BN) bersama-sama. Selama setahun dan lapan bulan ini, banyak lagi yang kita belum selesaikan.

“Saya masih ingat semasa penganjuran sambutan Tahun Baru Cina peringat negeri bulan lalu, Ahmad Faizal pesan kepada saya untuk teruskan dengan kerja-kerja kreatif yang dapat memberi kebaikan kepada negeri,” ujarnya.

Beliau juga turut berharap agar kemelut politik tanah air kini dapat diselesaikan secepat mungkin.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )