Pas dakwa kemenangan tanpa pilihan raya satu anugerah Allah

Pas dakwa kemenangan tanpa pilihan raya satu anugerah Allah

IPOH: Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Razman Zakaria mendakwa kemenangan pertukaran kerajaan tanpa proses pilihan raya yang telah menjatuhkan Pakatan Harapan merupakan suatu anugerah daripada Allah.

Menurutnya, kemenangan tersebut tidak menghadapi sebarang kepayahan tetapi ia adalah hasil usaha yang sedikit.

“Kemenangan kali ini bukan payah kita nak gantung bendera, bukan payah kita nak berkempen, nak berkelahi adik-beradik, tapi Allah beri kemenangan kepada kita dengan usaha kita sedikit sahaja.

“Pemimpin atasan sahaja yang berusaha dengan satu hikmah yang Allah beri melalui kekalahan Umno dalam PRU14 lalu.

“Dengan kekalahan itu menjadi kesedaran kepada seluruh umat Melayu bahawa politik ini bukan sekadar nak naik siapa dan jatuhkan siapa,” katanya, lapor Harakahdaily.

Kenyataan ini tidak selari dengan tindakan dan pendirian Pas semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak ‘dijatuhkan’ oleh Barisan Nasional pada tahun 2008.

Pada ketika itu, Kerajaan Negeri Perak telah diketuai oleh Pas iaitu Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku menteri besar.

Pas menganggap ia adalah satu rampasan kuasa yang tidak demokratik oleh Barisan Nasional dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu kerana ia telah mencabuli hak dan suara rakyat.

Pelbagai siri bantahan telah diadakan di seluruh negeri dan satu usul Kempen Bubarkan Dun Perak telah diluluskan di Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam pada tahun 2009.

Dalam perkembangan berkaitan Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, setelah Allah mengurniakan kemenangan melalui kuasa pemerintahan, maka harus diisi dengan mendirikan solat di mana pemimpin haruslah melaksanakan program-program yang mendorong rakyat kepada mengingati Allah.

Kemenangan ini juga katanya harus diraikan dengan penerapan konsep zakat yang sempurna iaitu untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat dengan mengagihan kekayaan secara sama rata supaya tidak berlegar dalam kalangan orang tertentu sahaja.

“Allah telah beri peringatan kepada kita, melalui keperitan apabila kita hilang kuasa di negara kita yang majoritinya Melayu. Jadi, kesempatan yang Allah kembalikan pada kita ini, perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh,” tegas beliau.

Lantaran itu, Razman menyeru ahli PAS dan Umno agar nikmat kemenangan ini wajar ditambahbaik dengan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim yang sedia ada tanpa mengimbau sengketa lama.

“Dengan kerajaan baru yang kita dapat ini, kita perlu jaga. Jangan seronok sangat,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus ( )