KeAdilan Perak pegang prinsip pertahan mandat rakyat

KeAdilan Perak pegang prinsip pertahan mandat rakyat

IPOH: Parti Keadilan Rakyat (KeAdilan) memberi penegasan berpegang teguh kepada prinsip mengutamakan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KeAdilan Perak, Anuar Zakaria berkata, amanah yang diberikan rakyat itu seharusnya diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui pentadbiran di Perak.

“Kita masih berpegang dan patuh kepada amanah rakyat. Apa juga polemik politik yang berlaku, kita berlandaskan kepada kepentingan rakyat.

“Ini kerana kita berprinsip kepada amanah rakyat yang telah diberikan pada PRU-14 dan itu sebenarnya harus diutamakan sehingga penggal yang akan datang,” katanya seperti dilaporkan Perak Today.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KeAdilan Perak, Mohd Azlan Helmi turut menyatakan pendirian bahawa mandat dan agenda rakyat harus diberi keutamaan serta dipertahankan.

Jelasnya, KeAdilan Perak masih berpendirian untuk terus bersama dalam gabungan PH negeri demi kepentingan rakyat di Perak.

“PH Perak baru-baru ini memang ada bermesyuarat yang mana ia disertai pimpinan daripada KeAdilan, AMANAH (Parti Amanah Negara) dan DAP.

“Ada konsensus yang telah diambil dalam mesyuarat itu namun saya tidak boleh mengulas lanjut buat masa ini. Biar PH Perak yang keluarkan kenyataan,” ujar beliau.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )