Lagu untuk Peja

Lagu untuk Peja

Malam semalam saya ke Ipoh. Ada perbincangan untuk mencari jalan keluar daripada kebuntuan ekoran Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang tiba-tiba tidak dapat dihubungi.

Kerajaan Perak jadi ibarat bahtera tanpa nakhoda yang terpaksa belajar berlayar di lautan bergelombang.

Bukan tiada malim lain mampu menggalas tugas. Ada, tetapi malim yang ada bukan jenis mengambil kesempatan. Atau jenis menangguk di air keruh.

Malim-malim yang ada tekun melaksanakan kerja masing-masing bagi memastikan bahtera bernama Perak ini terus belayar. Tapi pada masa sama, nakhoda perlu ke hadapan juga. Tak boleh menghilangkan diri.

Bahtera itu bolehlah dianggap sedang berada di persimpangan – untuk kekal berlayar atau dibiarkan tenggelam.

Beberapa hari lalu, saya berkongsi lif dengan Mat Sabu dan Adly Zahari di Hotel Eastin di Petaling Jaya. Mereka menyanyi-nyanyi ringan sambil kami berketawa.

Saya tahu, nyanyian itu hanyalah cara untuk menghiburkan hati yang gundah-gulana. Bukan bersedih, tapi mungkin sakit hati kerana dilukai oleh yang yang diberikan kepercayaan.

Sebagaimana dalam ucapan terakhir Mat Sabu dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor kira-kira lima tahun dulu. Mat Sabu memetik bait-bait lagu Allahyarham SM Salim, Selamat Tinggal Bungaku.

Saya tahu saat ini, Menteri Besar Perak itu sarat mendapat pelbagai kata nasihat. Ramai orang Perak tahu bahawa menteri besarnya memang suka menyanyi.

Saya tahu, saat ini beliau berkurung dalam kediaman rasminya di Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Kami rakyat Perak tetap perlu menjalani kehidupan biasa kami sehari-hari.

Tiadalah berhenti kami bekerja hanya semata-mata kerana gelora politik yang tidak menentu ini.

Tulisan saya ini tidaklah boleh dianggap sebagai nasihat kepada Peja itu, tetapi ini sekadar catatan santai yang boleh menyenangkan hati yang duka. Satu tulisan yang mungkin menghilangkan rasa gelisah.

Harapnya begitu. Walaupun Peja suka lagu nyanyian Ramli Sarip, saya percaya Peja pun suka lagu Ahmad Jais yang sangat sentimental.

Ada sebuah lagu bertajuk Gelisah dinyanyikan Ahmad Jais. Ia tidak ada kena-mengena dengan politik pun. Gelisah ialah gambaran rasa seorang lelaki menjelang hari bahagia bersama pasangannya.

Gelisah memang menyeksakan diri.

Gelisah

inikah dia getarannya jiwa

bergema

menyiksa dada aku derita.

Ahmad Jais juga ada menyampaikan sebuah lagu berentak asli bertajuk Di Ambang Sore. Ia menghuraikan lebih lanjut tentang tingkah laku sewaktu gelisah, berbunyi:

Ke satu arah tertentu

kulepaskan pandanganku

ke tempat janji bertemu

simpang tiga rumpun bambu

Dalam keadaan gelisah, pandangan mata kita biasanya akan dilepaskan ke satu arah. Kadang-kadang disengajakan, tapi kadang-kadang secara spontan dan tidak disedari.

Memandang ke tempat tertentu itu mungkin sencari suatu fikiran, jalan atau laluan yang lapang. Tempat itu mungkin juga berada di belakang, iaitu suatu tempat yang mempertemukan tiga parti berlainan ideologi tetapi berpakat menjadi Pakatan Harapan (PH) Perak.

Amanah, PKR dan DAP adalah ibarat simpang tiga rumpun bambu dalam lagu tadi. Kewujudan Bersatu kemudian menjadikan simpang tiga sebagai simpang empat.

Sememangnya PH merupakan parti yang mempunyai hala tuju perjuangan berbeza. Cuma PH disatukan atas azam mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang berintegriti.

Kebetulan musuh politik PH ketika itu adalah sama – iaitu BN – yang dipimpin oleh seorang ahli politik yang kini dituduh korup di mahkamah. PH beruntung kerana musuh politiknya terpalit banyak kes yang berkaitan integriti.

Rakyat hilang kepercayaan kepada BN yang memerintah enam dekad lamanya. Rakyat memberi peluang kepada PH yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad untuk memerintah tetapi tidak sempat dua tahun, ia jatuh akibat simpang-siur yang berliku.

Satu lagi nyanyian Ahmad Jais yang boleh saya kirimkan kepada Peja saat ini ialah Hidup Bukan Untuk Derita.

Walaupun lagu ini popular semasa menteri besar itu belum dilahirkan, saya yakin, sebagai seorang peminat lagu-lagu Melayu, Peja tahu lagu ini.

Jangan dikenang kala engkau seorang

jangan diingat kala engkau termenung

mungkinkah hati rasa ragu dan bimbang

tiada siapa kan menolong.

MB Perak itu mungkin memikirkan bahawa beliau keseorangan menanggung tekanan dan mendepani peluang. Tiada siapa yang mampu menolong mengurangkan bebanan dan mengurus peluang itu.

Peja tersepit macam mi dikepit chopstick. Dikepit kuat-kuat dan akhirnya ditelan.

Seterusnya pada rangkap ketiga dan terakhir, Ahmad Jais berdendang dengan mengatakan:

Hidup kita bukan untuk derita

juga derita tidak selamanya

jangan dibuang usia yang masih muda

agar tak kesal di hari muka.

Dunia kita indah luas terbentang

pilihlah satu jalan yang kau sukai

asalkan imanmu tidak bergoncang

semoga Tuhan akan memberkati.

Pada saya, Peja ada masa hadapan politik di tanah air. Tetapi keadaan itu ada jika beliau memilih laluan yang boleh dihormati dan dihargai oleh rakyat.

Politik bukan untuk hari ini, tetapi untuk seribu tahun mendatang.

Pengkhianatan Si Mendaliar dan Si Kitol sudah berabad-abad berlaku, namun tetap diratib-ratib orang tanpa. Tiadalah orang Melayu yang ragu akan sejarah itu.

Membincangkan lagu Ahmad Jais, salah satu lagu yang tidak boleh ditinggalkan ialah lagu berjudul Budi Setahun Segunung Intan. Lirik ini menyatakan agar kita jangan merindui orang jauh, tetapi dengarlah kata-kata teman yang dekat, teman bersenda gurau dan tidur sebantal.

Siapa lagi jika bukan kami dalam PH yang lebih hampir dengan Peja?

Mungkin Peja masih mengingati rakan lamanya dalam Umno. Untuk itu, Ahmad Jais dalam lagunya Seri Banang berpesan:

Kasih yang jauh jangan dikenang

kalau dikenang meracun hati.

Semoga Tuhan akan memberkati jalan yang kamu pilih, Peja.

DR MUHAIMIN SULAM adalah merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Naib Pengerusi AMANAH Perak

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )