Adun dakwa ada usaha bentuk kerajaan Perak tanpa Bersatu

Adun dakwa ada usaha bentuk kerajaan Perak tanpa Bersatu

IPOH: Muafakat Nasional didakwa berusaha untuk membentuk kerajaan di negeri Perak tanpa melibatkan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pakatan itu cuba bertindak sedemikian sepertimana berlaku di Melaka yang menyaksikan dua wakil rakyat Bersatu disingkirkan dari kerjasama membentuk kerajaan.

“Apa yang difahamkan kepada saya, situasi berlaku di Melaka mereka cuba nak jadikan di Perak, itu rancangan yang sedang mereka lakukan.

“Benar atau tidak…itu kita tak tahulah,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, gabungan Umno dan Pas yang memiliki 28 kerusi didakwa telah berjaya memperoleh sokongan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“Jadi sekarang mereka ada 29 kerusi, hanya perlukan seorang bentuk kerajaan tanpa melibatkan Bersatu sepertimana di Melaka,” katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana parti gabungan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Ketika ini, PH Perak mempunyai 28 kerusi sementara UMNO (25), Pas (3), Bersatu (2) dan Bebas (1).

Sebelum ini, Muhamad Arafat mendedahkan dirinya ditawarkan jawatan Exco sekiranya bersetuju menyertai gabungan Muafakat Nasional untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Bagaimanapun, wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak tawaran berkenaan kerana berpegang kepada prinsip parti.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )