Sultan Perak pertimbang MB baharu, perkenan peletakan jawatan Peja

Sultan Perak pertimbang MB baharu, perkenan peletakan jawatan Peja

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini memperkenan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Datuk Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan berkata, peletakan jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

“Ahmad Faizal dengan itu telah menyembahkan warkah peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak, dan mengetuakan Majlis Mesyuarat Kerajaan berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) Perkara XVI, Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan mengambil maklum dan menerima peletakan jawatan Ahmad Faizal berkuat kuasa 10 Mac 2020,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Abd Rahim memaklumkan bahawa Sultan Perak juga telah menerima mengadap pemimpin ketiga-tiga parti iaitu dari Bersatu, Umno dan Pas Perak.

Ia bagi mengesahkan bahawa Ahli Dewan Negeri daripada tiga buah parti tersebut telah mencapai kata sepakat untuk mendapat perkenan Baginda menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

“Selanjutnya, pemimpin tiga parti politik berkaitan mempersembahkan nama-nama untuk pertimbangan Duli Yang Maha Mulia, memperkenankan lantikan Menteri Besar Perak yang baharu dan berikrar memberikan sokongan kepada ahli Dewan Negeri yang diperkenankan oleh Baginda.

“Baginda akan meneliti dan menimbangkan Ahli Dewan Negeri yang telah dicalonkan dan akan menggunakan kuasa Baginda menurut perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, melantik ahli Dewan Negeri yang pada timbangan Baginda boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri sebagai Menteri Besar Perak ketiga belas; selanjutnya menetapkan tarikh mengangkat sumpah jawatan,” menurut kenyataan itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )