Klinik Kesihatan Manjoi kembali beroperasi selepas proses dekontaminasi

Klinik Kesihatan Manjoi kembali beroperasi selepas proses dekontaminasi

IPOH: Jabatan Kesihatan Perak melakukan dekontaminasi terhadap Klinik Kesihatan Manjoi, di sini selepas seorang individu yang mendapatkan rawatan di klinik itu mendakwa mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata berikutan itu, klinik kesihatan berkenaan ditutup pada 11 pagi tadi dan dibuka semula pada 3.35 petang ini dan beroperasi seperti biasa.

Beliau menjelaskan, individu itu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada 27 Feb hingga 8 Mac itu telah berjumpa dengan seorang pegawai perubatan di bilik pemeriksaan di klinik itu semalam.

“Pesakit telah memberi sejarah gejala demam tanpa gejala pernafasan. Namun, pemeriksaan klinikal mendapati pesakit tidak demam dengan suhu hanya 36 darjah celsius,” katanya dalam kenyataan.

Dr Ding berkata individu itu kemudian dirujuk kepada Pakar Perubatan Infeksi Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini sebelum diklasifikasi sebagai Pesakit Bawah Pemantauan (PUI) seterusnya diletakkan di bawah pemantauan di rumah.

Beliau berkata pegawai perubatan dan seorang lagi anggota yang memeriksa individu terbabit telah melakukan langkah pencegahan proaktif melalui pengasingan diri sehingga keputusan ujian pesakit diketahui.

Gambar kerja-kerja pembersihan di Klinik Kesihatan Manjoi tular di media sosial hari ini sehingga mencetuskan panik dan kerisauan kepada orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )