Kami tidak akan kecewa, terus berkhidmat kepada rakyat – Asmuni

Kami tidak akan kecewa, terus berkhidmat kepada rakyat – Asmuni

IPOH: Kesemua ADUN Pakatan Harapan Perak terutama tujuh mantan Exco Kerajaan Negeri bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik.

Adun Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata walaupun tidak lagi menjadi Exco Kerajaan Negeri namun katanya Pakatan Harapan akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat berdasarkan kapasiti masing-masing.

“Sultan Perak menitahkan agar walaupun kami tidak berada dalam barisan kerajaan namun Baginda berharap agar kami dapat terus berkhidmat kepada rakyat dalam pelbagai cara.

“InsyaAllah kami tidak akan kecewa sebaliknya kami akan menjadi pembangkang yang baik.

“Kami akan pastikan supaya kami dapat menunaikan titah Baginda agar dapat terus membantu kerajaan dalam keadaan terkini ini,” katanya, lapor Perak Today.

Terdahulu kesemua mereka dititahkan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, hari ini.

Selain Asmuni, antara yang dipanggil menghadap ialah ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing, ADUN Pantai Remis, Wong May Ing dan ADUN Sungkai, A Sivanesan.

Mereka yang tiba sekitar jam 4.30 petang tadi selesai menghadap Baginda sekitar jam 5.15 petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni yang juga Pengerusi AMANAH Perak berkata, Pakatan Harapan Negeri masih belum menetapkan mana-mana ADUN untuk menjadi ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Berkenaan dengan ketua pembangkang ianya belum diputuskan lagi. Kita akan mengadakan perbincangan bersama ADUN Pakatan Harapan yang lain dan kemudiannya kita akan putuskan nanti,” kata beliau.

Difahamkan, tiga lagi bekas Exco Kerajaan Negeri tidak dipanggil menghadap iaitu Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim; Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Paul Yong Choo Kiong, ekoran keputusan yang telah dibuat mereka untuk menyokong Perikatan Nasional di negeri ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )