Menteri Besar Perak angkat sumpah esok

Menteri Besar Perak angkat sumpah esok

IPOH: Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 akan diadakan esok, demikian menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Ahmad Suaidi, dalam satu kenyataan, malam ini, berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan istiadat tersebut berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada jam 3 petang.

Menurut sumber, nama Menteri Besar Perak yang baharu itu, akan diumumkan esok.

Petang tadi, Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mengemukakan nama tiga calon menteri besar baharu kepada Sultan Nazrin.

Calon tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12 setelah Pakatan Harapan (PH) di Perak yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak mendapat sokongan 32 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )