Perikatan Nasional Perak persembah tiga nama, tiada sepakat pilih MB

Perikatan Nasional Perak persembah tiga nama, tiada sepakat pilih MB

IPOH: Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu, mempersembahkan nama tiga calon menteri besar baharu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini. 

Calon-calon tersebut ialah Pengerusi Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria.

Senarai calon-calon itu dipersembahkan oleh pemimpin ketiga-tiga parti itu kepada Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini .

Bercakap kepada para pemberita, Ahmad Faizal berkata warkah bertarikh 11 Mac itu juga menyatakan komitmen mereka bertiga untuk menyokong siapa juga yang dipilih oleh Sultan Nazrin menjadi Menteri Besar. 

“Kami bertiga menasihati semua rakyat agar bersabar, bertenang sambil menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Sultan Perak berkenaan dengan Menteri Besar Perak ke-13. 

“Terima kasih kepada pihak media yang sudi menanti sekian lama, lebih daripada dua minggu dalam drama di negeri Perak ini,” kata Ahmad Faizal sambil meminta media agar terus berkawan dengannya walaupun tidak lagi menjadi Menteri Besar. 

Menurut Ahmad Faizal, ketika menghadap hari ini, Sultan Nazrin turut bertitah agar semua ahli politik mementingkan rakyat dan kestabilan negeri, tidak bercakaran sesama sendiri serta mementingkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat. 

Pada Selasa, Sultan Nazrin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12 selepas Pakatan Harapan di Perak yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang. 

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional Perak telah mendapat sokongan 32 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )