Ahli Umno wajib terima dengan tabah – Saarani

Ahli Umno wajib terima dengan tabah – Saarani

IPOH: Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad menggesa semua ahli Umno menerima keputusan tersebut dengan tabah.

Gesaan itu disuarakan melalui satu poster ucapan ringkas yang dimuatnaik Pemuda Umno Perak di laman Facebook rasmi sejurus pengumuman Menteri Besar Perak yang ke-13 yang menyaksikan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dipilih mengekalkan jawatan tersebut.

“Allah yang menentukan segala-galanya. Semua Ahli Umno wajib menerimanya dengan tabah.

“Kuat semangat untuk bekerja keras menangi PRU15,” kata Saarani Mohamad.

Beberapa pemimpin Umno Perak turut meluahkan perasaan yang sama berhubung pelantikan Ahmad Faizal sebagai menteri besar.

“Kita mesti redho, Allah Maha Mengetahui,” kata Setiausaha Umno Perak, Dato’ Azian Osman di laman Facebooknya.

Adun Slim, Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib pula menyeru seluruh ahli Umno memperkukuhkan kerajaan baharu Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Umno, Pas dan Bersatu.

“Redho ketentuan Allah. Sama-sama kita perkukuhkan kerajaan baru demi kesejahteraan rakyat Perakku,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Pengumuman Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor hari ini menyaksikan Pengerusi Bersatu Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dipilih sekali lagi mengetuai Kerajaan Negeri Perak.

Sebelum ini, Saarani telah memberitahu bahawa Umno telah memilih beliau sebagai calon menteri besar mewakili parti itu.

Cadangan tersebut telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika dititah menghadap di Istana Kinta, isnin lalu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )