Barisan Exco Kerajaan Perak selesai minggu depan – MB

Barisan Exco Kerajaan Perak selesai minggu depan – MB

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menjangkakan pelantikan Exco Kerajaan Negeri yang baharu akan selesai minggu hadapan.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan Umno dan Pas bagi menentukan perkara tersebut.

“Adalah lebih baik untuk saya menyegerakan perkara ini kerana kemelut politik yang berlaku sebelum ini, saya telah gagal mengadakan mesyuarat Exco lebih lima minggu.

“Saya telah berbincang dengan Datuk Saarani dan Razman untuk kita mengadakan perjumpaan bagi segera merungkaikan hal ini da seterusnya dapat menyenaraikan nama agar dapat dipersembahkan kepada Sultan Perak nanti,” katanya kepada media semalam.

Adun Chenderiang itu berkata, barisan Exco yang bakal dilantik dijamin bebas daripada sebarang kontroversi ataupun mempunyai sebarang kes perbicaraan mahkamah yang masih berlangsung.

Beliau katanya akan mengambil contoh pembentukan kabinet kerajaan persekutuan yang mana semua yang dilantik bebas daripada perkara tersebut.

“Saya akan mengambil contoh dari Perdana Menteri dalam memilih jemaah menteri baru-baru ini, dalam pemelihan nama untuk dipersembahkan kepada Baginda untuk diperkenankan menjadi Exco.

“Calon-calon hendaklah bersih dan telah ditapis menerusi agensi berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini penting supaya ia tidak akan membebankan kerajaan atau menimbulkan imej buruk kepada kerajaan negeri,” lapor Perak Today.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )