Tahniah pengurusan Tabung Haji, kata Menteri Agama

Tahniah pengurusan Tabung Haji, kata Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mahamad Al-Bakri berkata, beliau mewakili kerajaan Malaysia, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) atas keuntungan berjumlah RM 2.9 billion (sebelum agihan keuntungan) yang dicatatkan untuk tahun kewangan 2019.

Kata beliau, pengumuman ini sudah pasti menggembirakan semua pendeposit, selepas berlaku unjuran positif dalam keuntungan berbanding tahun kewangan yang lepas pada 2018.

“Keuntungan yang dicatatkan ini menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

“Cabaran terbesar TH adalah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka, setelah berlakunya ketidaktentuan pasaran saham berikutan perang dagangan di peringkat global.

“Saya percaya pihak TH dan semua pihak yang berkaitan telah menggembleng sepenuh tenaga mereka, dan berusaha sehabis baik dalam melaksanakan tugasan ini.

“Dengan semangat dan iltizam yang berterusan, -sudah barang tentu dengan izin-Nya, saya yakin TH akan mencatat lebih banyak keuntungan di masa depan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pengumuman agihan keuntungan selepas zakat (hibah) sebanyak 3.05% kepada semua pendeposit juga dilihat telah mengembalikan kepercayaan pendeposit setelah jumlah dividen yang diterima agak rendah pada tahun lalu.

Katanya, ia dijangka akan memberi galakan kepada pendeposit untuk terus melabur dan menyimpan wang bersama TH.

Dr Zulkikfli menyeru semua pihak agar meletakkan sepenuh keyakinan kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH yang sentiasa berdedikasi dan memahami hala tuju TH dalam menjalankan urus tadbir.

Uajrnya, penubuhan TH adalah berlandaskan niat yang suci, untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam yang kelima.

“Semoga TH akan dapat mencatat lebih banyak keuntungan di masa akan datang, serta dapat menyumbang lebih banyak untuk ekonomi dan pembangunan Islam,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )