Walaupun tak jadi MB, Pas anggap Saarani wira

Walaupun tak jadi MB, Pas anggap Saarani wira

IPOH:  Walaupun tidak menjadi Menteri Besar, Pas menyifatkan Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai wira dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak.

Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, biarpun UMNO mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ramai dalam gabungan itu, Saarani tetap berlapang dada menerima keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Adun Selama itu berkata, tindakan itu memperlihatkan Saarani seorang pemimpin yang berjiwa besar.

“Dalam kegembiraan kita atas pelantikan Menteri Besar baharu Perak, jangan lupa kita kepada insan ini.

“Sekalung penghargaan dan tahniah serta terima kasih kepada YB Dato’ Saarani atas jiwa besarnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Semalam, sejurus diumumkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13, respon pemimpin Umno sangat ‘dingin’.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Dato’ Saarani Mohamad yang juga Adun Kota Tampan meminta seluruh pimpinan dan ahli Umno di negeri ini bertenang.

Beliau mengharapkan agar semua dapat menerima keputusan yang telah ditentukan oleh Allah.

Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan di Perak setelah Pakatan Harapan yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang apabila Bersatu membuat keputusan keluar daripada gabungan tersebut.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )