Jangan salah guna gelaran, memenuhi kepentingan peribadi – Sultan Nazrin

Jangan salah guna gelaran, memenuhi kepentingan peribadi – Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR: Semua ahli Dewan Negara Perak, Orang Besar Negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing bertanggungjawab mempertahan, menjaga nama baik serta mendaulatkan institusi kesultanan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah tanggungjawab dan amanah itu juga perlu dipatuhi mereka yang ditempatkan di Pejabat Sultan, Pejabat Raja Muda dan Pejabat Raja Di Hilir serta kakitangan istana.

Baginda menegaskan agar mereka tidak sesekali menyalahgunakan gelaran yang disandang dan penempatan untuk mendapat laba bagi memenuhi kepentingan peribadi.

“Gelaran yang disandang dan penempatan di jawatan tertentu tidak boleh sama sekali disalahgunakan untuk dijadikan platform memohon pelbagai manfaat daripada kerajaan, badan perniagaan juga individu untuk tujuan perniagaan mana-mana pihak.

“Kepala surat rasmi, cap rasmi dan surat rasmi hendaklah sama sekali tidak digunakan untuk tujuan-tujuan sedemikian yang boleh memalitkan nama buruk dan mencemarkan institusi kesultanan,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-169 di sini, kelmarin.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Negara Perak yang telah memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab membantu mendaulatkan institusi kesultanan di negeri Perak.

“Beta memberikan perkenan melantik semula ahli-ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) untuk tempoh dua tahun lagi,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah agar umat Islam berdoa memohon dijauhkan daripada ancaman COVID-19 yang sedang merebak ke seluruh negara mengakibatkan aktiviti ekonomi terjejas di serata dunia.

Sultan Nazrin juga bertitah menurut takwim, tarikh sambutan rasmi ulang tahun keputeraan baginda yang ke-64 akan disambut pada 7 Nov, manakala istiadat kawalan kehormatan, menjunjung duli dan penganugerahan darjah kebesaran negeri pada 8 Nov.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )