Pelantikan saya hadiah buat penduduk Kuala Kangsar – Mastura

Pelantikan saya hadiah buat penduduk Kuala Kangsar – Mastura

KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berkata pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan untuk rakyat.

Menyifatkan pelantikannya sebagai hadiah buat penduduk di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Mastura berkata usaha perlu digerakkan selepas rakyat kecewa dengan Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Kerajaan ini harus kukuh dan mesti menepati hasrat rakyat dan kami mesti buat yang terbaik dalam tempoh tiga tahun ini.

Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 2016, rakyat menaruh kepercayaan kepada saya untuk melaksanakan tugas dan amanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Solat Dhuha serta Pertemuan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Bersama Masyarakat Setempat di pekarangan Surau As-Sobirin Taman Chandan Putri di sini baru-baru ini.

Mastura juga turut mengunjungi pusara suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan di sini, sebelum pulang ke Putrajaya.

Ditanya mengenai tugasnya, Mastura berkata beliau akan diberikan taklimat secara terperinci pada Isnin ini.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )