Kerajaan baru Perak tidak bertahan lama – Pakar Perlembagaan

Kerajaan baru Perak tidak bertahan lama – Pakar Perlembagaan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak yang baharu dibentuk melalui gabungan Perikatan Nasional dikhuatiri tidak dapat bertahan lama.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, walaupun kerajaan yang disifatkan sebagai kerajaan pintu belakang itu sah dari segi undang-undang, namun dari segi politiknya ia tidak mendapat mandat rakyat.

Menurutnya, kerajaan Perak yang baharu ini juga tidak mempunyai manifesto sendiri sekali gus tiada panduan untuk mentadbir mengikut acuan tertentu.

“Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang sebab kita menjangka bahawa kita mempunyai alasan atau hujah moral kuat menjadi kerajaan dan kita yakin kerajaan yang ada ini takkan lama,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas tentang pelantikan ADUN Chenderiang, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13.

Aziz Bari menjelaskan, jumlah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu-satunya kriteria utama dalam pelantikan Menteri Besar Perak dan berkemungkinan ia mengambil kira situasi politik di peringkat persekutuan yang memerlukan seseorang yang pernah menjadi Menteri Besar.

Apa yang penting katanya, ia merupakan prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan baginda juga sudah tentu mempunyai pelbagai pertimbangan sebelum pelantikan tersebut dibuat bagi memastikan kestabilan politik, selain melihat jumlah kerusi DUN majoriti yang mungkin tidak mampu bertahan lama.

Abdul Aziz berkata, walaupun Umno memiliki kerusi DUN melebihi Bersatu, namun belum tentu pelantikan Menteri Besar dari Umno boleh menjamin kerajaan Perak kekal stabil.

“Dalam hal ini, saya fikir mereka yang lari daripada Pakatan Harapan menyertai Perikatan Nasional adalah mereka yang dianggap penting untuk memastikan bahawa kerajaan negeri yang ada sekarang ini kekal ataupun dapat mengekalkan majoriti ini.

“Jadi di situ mungkin pertimbangan yang diambil kira dalam meletakkan Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )