Rakyat tuntut Perintah Kawalan Pergerakan lebih jelas – peguam

Rakyat tuntut Perintah Kawalan Pergerakan lebih jelas – peguam

KUALA LUMPUR: Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat tidak jelas dan menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat.

Pengerusi Biro Kanun Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Fitri Asmuni berkata, pengumuman tersebut sangat tidak jelas seolah-olah ia hanya bersifat gesaan semata-mata.

“Pengumuman tersebut satu Larangan atau hanya satu Gesaan sahaja? Tidak jelas,” katanya ketika dihubungi Perak Insights.

Beliau mempersoalkan apakah kesan sekiranya rakyat tidak mengikut dan patuh kepada perintah yang dikeluarkan itu.

“Apa kesan jika ada rakyat tidak ikut Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan PM tadi?

Adakah mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar Seksyen 22 Akta tersebut?,” katanya.

“Rakyat tidak tahu pun apa kandungan Akta Pencegahan dan Kawalan tersebut. Jadi kerajaan perlulah beri arahan yang lebih jelas kepada rakyat seandainya mereka tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan ini”.

Oleh yang demikian, Mohd Fitri menggesa kerajaan segera memberi penjelasan supaya rakyat lebih jelas dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri malam tadi.

“Kita tak mahu kerajaan membuat pengumuman tersebut dalam keadaan tergesa-gesa kerana desakan rakyat dan untuk menutup kelemahan mereka sendiri,” tegasnya.

Hari ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Ini berikutan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan seluruh dunia.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )