Tunaikanlah solat di rumah dan sempurnakan rukunnya

Tunaikanlah solat di rumah dan sempurnakan rukunnya

MENJADIKAN rumah masing-masing sebagai tempat solat kerana adanya bahaya di luar bukanlah perkara baru.

Mengambil langkah berjaga-jaga dari mendedahkan diri kepada bahaya itulah sunnatullah. Menyempurnakan solat dan berdoa memohon perlindungan dari-Nya ialah syariatullah.

Itulah makna tawakkal dari al-Quran. Teladan yang diberikan dari kisah-kisah al-Quran sentiasa releven dengan kehidupan semasa ummat Islam dan bangsa manusia.

Perintah yang diterima Nabi Musa a.s. dan Harun a.s. bukanlah ada kaitan dengan apa-apa wabak penyakit berbahaya yang sedang merebak di Mesir. Yang terjadi ialah ancaman penyeksaan dan pembunuhan dari Firaun dan tenteranya yang semakin mengganas di Mesir. Sembilan mukjizat Musa a.s. semakin melumpuhkan popularitinya yang mendakwa dirinya tuhan.

Menghadapi tindakbalas radikal Firaun ke atas Bani Israil, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Harun a.s. agar memberitahu Bani Israil kembali ke rumah masing masing, menghadap kiblat, menyempurnakan solat, dan menyebarkan berita gembira bahawa Allah SWT bersama dengan orang-orang yang beriman.

Firman Allah SWT :

‎وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ أَن تَبَوَّآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”. (Yunus 10:87)

Tafsir dan Tadabbur Ayat

1. Ayat-ayat sebelumnya mengenai Allah SWT menenangkan dan mengingatkan Bani Israil agar tidak takut kecuali kepada Allah dan bertawakkal sepenuhnya kepada-Nya. Maka ayat ini menjelaskan cara bertawakkal, menambah ketenangan dan menghilangkan ketakutan dari kaum kafir. Situasi inilah yang berlaku di awal perjuangan dakwah Nabi SAW di Makkah. (Tafsir Mafatih al-Ghayb & Tafsir Nazhm al-Durar)

2. Bani Israil diperintahkan untuk menjadikan rumah-rumah mereka sebagai tempat beribadah apabila takut kepada fitnah Firaun dan kaumnya. Semakin keras tangkapan, seksaan dan pembunuhan dilakukan Firaun dan kaumnya, hendaklah semakin kerap menunaikan solat dalam rumah masing-masing. Ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 153 iaitu “wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”. (Tafsir Ibnu Kathir).

3. Ibnu Abbas RA berkata : Bani Israil berkata kepada Musa AS, “Kita tidak mampu lagi menzahirkan solat kita kepada Firaun dan pengikutnya”, lalu Allah SWT memerintahkan mereka akan melaksanakan solat dalam rumah mereka masing-masing secara sembunyi dan rahsia. (Tafsir Ibnu Kathir)

4. Hendaklah Bani Israil mencari lokasi yang selamat di mana-mana lokasi di negara Mesir untuk dibina rumah atau khemah-khemah sebagai kediaman sementara dan tempat perlindungan baru mereka dari Firaun. Hendaklah mereka kembali ke rumah itu apabila mahu beribadah meskipun jauh perjalanan antara rumah mereka dengan pasar atau medan perburuan atau tempat mereka bekerja. Tunaikanlah solat fardhu dalam rumah apabila masuk waktunya. Hendaklah ditunaikan dengan sempurna sebagaimana diperintahkan dalam suhuf Ibrahim. (Al-Tafsir al-Muyassar & Tafsir Al-Tahrir wa al-Tanwir)

5. Mengapa perintah mendirikan rumah-rumah sebagai tempat menetap yang selamat atau tempat perlindungan kepada Bani Israil dikhususkan kepada Musa dan Harun AS sedangkan perintah menunaikan solat dalam rumah disasarkan kepada seluruh Bani Israil ? Ini kerana menetapkan keputusan mengenai kedudukan lokasi rumah-rumah dan menetapkan keputusan menjadikan rumah sebagai tempat berlindung ialah perintah yang hanya boleh dikeluarkan secara khusus oleh para Anbiya dan Ulil Amri sebagai pemimpin ummah kaum muslimin. Manakala perintah menunaikan solat untuk mendapatkan bantuan Allah ialah perintah dan kewajipan untuk dilaksanakan oleh semua kaumnya. (Tafsir Ibnu Juzayy)

Semoga Allah SWT memelihara kita dari bahaya wabak virus Covid-19, mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya dan membanyakkan istighfar dan doa kepada-Nya.

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

SYAARI AB RAHMAN adalah merupakan pendakwah bebas, CEO Ibrah Paradigm Training & Consulting dan Panel Penyampai Tadabbur Centre Sdn. Bhd

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )