Exco Perak: Umno dapat 6, Pas dan Bersatu dapat 2 – Saarani

Exco Perak: Umno dapat 6, Pas dan Bersatu dapat 2 – Saarani

IPOH: Umno Perak menyerahkan enam nama dari kalangan ADUN mereka untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Nama tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut berdasarkan persetujuan yang dibuat sebelum ini di antara ketiga-tiga parti di bawah gabungan Perikatan Nasional.

Menurutnya, bilangan Exco kerajaan negeri dijangka kekal dengan 10 orang dengan enam daripada Umno dan masing-masing dua orang daripada Pas dan Bersatu.

“Kita dah hantar senarai nama kepada Menteri Besar Perak untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Kita hantar enam nama sepertimana yang dipersetujui.

“Saya tak boleh umum atau dedahkan nama siapa yang disenaraikan. Tunggu pengumuman daripada pihak Istana,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahmad Faizal dalam sidang akhbar pertamanya selepas dilantik semula sebagai Menteri Besar pada 13 Mac lalu menjelaskan, lantikan Exco akan dibuat segera dalam tempoh seminggu selepas beliau mengangkat sumpah.

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional Perak melibatkan 32 ADUN terdiri daripada 25 ADUN Umno, empat ADUN Bersatu dan tiga ADUN dari Pas.

Turut menyokong gabungan tersebut ialah tiga ADUN Pakatan Harapan yang bertindak keluar menjadi wakil rakyat bebas.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )