Faizal Azumu mulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak ke-13

Faizal Azumu mulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak ke-13

IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak yang ke-13.

Ahmad Faizal tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada pukul 8.30 pagi sebelum mengimbas kad perakam dan ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Nor Sham Rahman serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, sambutan berlangsung dalam skala yang kecil tanpa kehadiran pihak media sebagai langkah mewujudkan jarak sosial, bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Faizal memulakan tugasan beliau dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Mesyuarat MKN bertujuan untuk membincangkan tindakan lanjut pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac di seluruh negara, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya malam tadi.

Pada Jumaat lepas, Ahmad Faizal yang sebelum ini Menteri Besar Perak ke-12 telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )