Solat Jumaat pada 20, 27 Mac di Perak diganti solat Zohor

Solat Jumaat pada 20, 27 Mac di Perak diganti solat Zohor

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan supaya solat Jumaat pada 20 dan 27 Mac ini diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak , Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bermesyuarat pada Sabtu lalu telah menyembah maklum  perkara itu kepada Sultan Nazrin untuk perkenan sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, Sultan Nazrin turut memberi perkenan supaya masjid, surau dan musala yang terletak dalam kawasan terdapat kes positif COVID-19 ditutup sehingga selesai kerja-kerja pembersihan serta nyah kuman dan hanya dibenarkan dibuka dengan kebenaran bertulis daripada Kementerian Kesihatan.

“Semua aktiviti kelas agama, kuliah dan pengajian di masjid, surau serta musala dihentikan untuk meminimumkan pendedahan selain hanya seorang imam, seorang bilal dan seorang siak hadir untuk memenuhi tugas melaungkan azan.

“Selain itu, laungan azan dengan  ungkapan hay’alatain (bermaksud marilah menunaikan solat dan marilah menuju kejayaan) akan digantikan dengan seruan ungkapan yang bermaksud solatlah di rumah kamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Wan Mohd Zahid, sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-107. BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )