Upacara akad nikah di Perak perlu dilaksana di premis persendirian

Upacara akad nikah di Perak perlu dilaksana di premis persendirian

IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) telah memutuskan untuk menetapkan beberapa tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah di negeri ini berikutan peningkatan ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, setiap pasangan yang ingin bernikah sepanjang tempoh kawalan pergerakan perlu dilaksanakan di premis persendirian sahaja.

Menurutnya, JAIPk telah menetapkan tatacara perlaksanaan majlis akad nikah di negeri Perak sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan iaitu bermula esok iaitu 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

“JAIPk dengan ini memutuskan untuk menetapkan arahan tatacara bagi pelaksanaan Majlis Akad Nikah di Negeri Perak berkuatkuasa serta-merta dari tarikh arahan tempoh perintah kawalan pergerakan dikeluarkan.

“Majlis Akad Nikah hendaklah dilaksanakan di premis persendirian dan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di tempat awam seperti masjid, surau, dewan atau tempat-tempat awam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, tempoh waktu pelaksanaan majlis juga hendaklah dipendekkan iaitu tidak melebihi 30 minit.

Majlis tersebut katanya hendaklah hanya boleh dihadiri oleh, seorang jurunikah, dua orang saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.

“Majlis tersebut hendaklah dibatalkan jika sekiranya mana-mana pihak yang terlibat dengan majlis telah disahkan atau disyaki jangkitan Covid-19,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )