Covid19: Jawatankuasa Fatwa Perak benarkan mandi jenazah guna cara tayamum

Covid19: Jawatankuasa Fatwa Perak benarkan mandi jenazah guna cara tayamum

IPOH: Perak membenarkan tayamum dilakukan dalam memandikan jenazah yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19, selain memutuskan pindaan terhadap seruan azan.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri (JFN) Perak seiring Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini hingga 31 Mac.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, JFN Perak mengadakan mesyuarat khas mengenai isu Covid-19 pada Sabtu lalu dan memutuskan beberapa perkara penting.

“Tayamum atau menyapu debu pada bahagian luar yang membaluti jenazah mangsa wabak Covid-19 diambil berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia.

“Ia adalah pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah terbabit.

“Jenazah itu boleh diuruskan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membaluti jenazah itu.

“Bagi ungkapan azan pula, lafaz “hayya ‘ala as-solah” dan “hayya ‘ala al-falah” (marilah mengerjakan solat, marilah menuju kejayaan) hendaklah ditukar kepada “sollu fi buyuutikum” (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan kepada pandangan al-Imam al-Nawawi r h dalam kitabnya, Syarh Sahih Muslim yang bersumberkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Wan Mohd Zahid berkata, beberapa keputusan lain juga diambil antaranya penangguhan solat Jumaat pada 20 dan 27 Mac di semua masjid serta surau, sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Menurutnya, semua arahan bertepatan prinsip maqasid syariah ‘hifz al-nafs’ iaitu menjaga nyawa diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Mengenai rumah ibadat yang terletak di kawasan wabak perlu ditutup untuk menjalani pembersihan dan nyahkuman sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )