Larangan Pergerakan: Peniaga makanan tambah nilai perkhidmatan

Larangan Pergerakan: Peniaga makanan tambah nilai perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Tidak boleh berniaga seperti biasa. Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini, bagaimanapun secara tidak langsung telah mencetuskan idea kepada kalangan peniaga, terutamanya peniaga makanan, untuk menambah nilai perkhidmatan mereka.

Langkah itu yang julung kali diambil oleh kerajaan untuk menangani penularan COVID-19 telah sedikit sebanyak menjejaskan rutin harian mereka, tetapi demi kelangsungan hidup, kalangan pengusaha makanan  bersedia menggunakan cara baharu.

Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, yang antara objektif utamanya untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memastikan penjarakan sosial dapat dilakukan, sebenarnya membawa kepada penambahbaikan kepada peniaga mengendalikan operasi mereka.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi kedai makan di ibu kota hari ini mendapati kalangan pemilik kedai terbuka kepada idea untuk melakukan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan, memandangkan orang ramai dilarang menjamu selera di kedai makan.

Noridawati Hassan, 42, yang mengusahakan gerai makanan berlauk berhampiran Istana Budaya di sini tetapi tidak menggunakan khidmat syarikat penghantaran makanan sedia ada seperti GrabFood, FoodPanda dan BungkusIt, berkata dia mengambil langkah menghantar sendiri makanan kepada pelanggan.

“Kami ambil maklum kehendak kerajaan, jadi kami tidak menyediakan kerusi dan meja. Pelanggan tetap kami sudah ambil maklum dengan perkara ini jadi mereka boleh hubungi kami untuk penghantaran makanan terus kepada mereka.

“Perintah ini pun demi keselamatan orang ramai, jadi peniaga harus patuh dan cari alternatif sendiri dalam tempoh sehingga 31 Mac ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, turut senada dengan usaha itu, seorang pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Effi, 37, yang baru membuka kedai makan di kawasan Kampung Baru di sini.

Jelasnya, dia akan mempertimbangkan untuk melaksanakan perkhidmatan penghantaran makanan dalam mendepani perintah itu dengan memperkenalkan menu ringkas yang senang untuk dibungkus.

“Nak tak nak kena akur (dengan perintah itu) sebab kita tak mahu kena denda dan ini melibatkan keselamatan orang awam. Setakat ini, kita masih belum jalankan penghantaran makanan, tapi kami mungkin pertimbangkan ini (penghantaran manakan) dengan menyediakan menu ringkas,” katanya.

Menurut Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac, premis makanan tidak akan ditutup melainkan premis itu menjalankan khidmat pembungkusan makanan dan menggunakan khidmat syarikat penghantaran makanan.

Mewakili suara penjaja dan peniaga pasar malam, Pengerusi Peniaga-peniaga Pasar Malam Kuala Lumpur Abdul Hadi Mustafa bersetuju perintah yang dikeluarkan adalah cara terbaik untuk membendung penularan COVID-19.

Bagaimanapun, beliau mengakui peniaga sepertinya bakal terjejas dari sudut pendapatan mereka berikutan larangan untuk berniaga bagi mengelak orang ramai berada di tempat sama dalam satu masa.

“Dari segi peniaga, kita rasa memang ada kesan ekonomi tapi lebih penting keselamatan kepada orang. Bagi pasar malam, nampaknya agak terjejas, itulah sumber pendapatan mereka jadi apa pun kena akur dengan tindakan kerajaan yang saya rasa paling baik.

“Kalau boleh, bagi setiap peniaga, mereka kena beringat dari awal. Mereka perlu ada simpanan sedikit untuk dua minggu ini bagi kecemasan sebegini. Saya rasa (untuk) makan tak jadi masalah, tapi kalau ada bantuan kerajaan, ini lebih baik,” katanya.

Perdana Menteri, yang mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19 dan perkembangan terkini penularan penyakit itu dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Bagi sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )