Jangkitan Covid-19 sudah cecah 900 kes!

Jangkitan Covid-19 sudah cecah 900 kes!

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 hari ini sudah mencecah 900 kes dengan sebanyak 110 kes baharu positif virus berbahaya itu setakat jam 12 tengah hari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, memberitahu daripada 110 kes baharu itu, sebanyak 63 kes adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menurutnya, seramai 15 individu sudah dibenarkan pulang hari ini sekali gus jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya sebanyak 75 kes.

“Sehingga kini seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka kini memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian, di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata Selangor menjadi negeri tertinggi jumlah pesakit Covid-19 iaitu sebanyak 223 kes.

“Ia diikuti Kuala Lumpur sebanyak 123 kes, Sabah (112), Johor (101), Negeri Sembilan (56), Sarawak (51) dan Kelantan (44).

“Bagi Kedah pula, sebanyak 40 kes dilaporkan diikuti Perak 35 kes, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing 32 kes.

“Manakala empat negeri di bawah paras 20 kes iaitu Terengganu 11 kes, Perlis (sembilan), Putrajaya (enam) dan Labuan (lima),” jelas Dr Adham lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )