Perak beri bantuan RM500 kepada penjaja, peniaga kecil berdaftar

Perak beri bantuan RM500 kepada penjaja, peniaga kecil berdaftar

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan memberi bantuan khas RM500 seorang dalam bentuk sekali bayar kepada kira-kira 4,000 penjaja dan peniaga kecil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga 31 Mac untuk mengekang penularan baharu jangkitan COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bantuan itu akan diberi kepada semua penjaja dan peniaga yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak dalam masa terdekat.

“Kos keseluruhan bantuan ini dianggar hampir RM2 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan serta medan selera di bawah semua PBT bagi tempoh Mac dan April yang membabitkan kos keseluruhan lebih RM770,000.

Sebagai menghargai 1,500 kakitangan barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Perak yang terlibat dalam menangani penularan COVID-19, kerajaan negeri akan memberikan sumbangan makanan tengah hari dan malam selama dua minggu.

“Sumbangan makanan dengan kos hampir RM200,000 adalah tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Kata Ahmad Faizal, peruntukan khas RM160,000 untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri juga disediakan hasil sumbangan kerajaan negeri dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )