COVID-19: Semua majlis akad nikah di Perak ditangguhkan

COVID-19: Semua majlis akad nikah di Perak ditangguhkan

IPOH: Selepas Selangor semua majlis akad nikah di Perak ditangguhkan bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian bagi mengawal penularan COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata penangguhan itu dilakukan bagi melindungi keselamatan jurunikah dan pihak-pihak lain yang terlibat.

“Semua majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hendaklah ditangguhkan berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua Pegawai Tadbir Agama (PTA) diminta memaklumkan kepada semua jurunikah di bawah seliaan masing-masing untuk tindakan lanjut.

Selasa lepas, JAIPk menetapkan majlis akad nikah hanya dibenarkan di premis persendirian dan dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi 30 minit dengan hanya dihadiri seorang jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan serta seorang wali.

Semalam Jabatan Agama Islam Selangor mengumumkan semua majlis akad nikah di negeri itu ditangguhkan ekoran beberapa jurunikah yang terpaksa dikuarantin selepas menikahkan pasangan pengantin.

Sementara itu, semua prosiding sebutan, majlis sulh (rundingan), perbicaraan dan segala urusan berkaitan Mahkamah Syariah di seluruh Perak yang dijadualkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan turut ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syarie Negeri Perak Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dalam kenyataan berkata arahan itu dikeluarkan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa’ari Mohd Yazid melalui notis bertarikh 17 Mac.

“Memo itu dikeluarkan kepada orang awam, peguam-peguam syarie, Jabatan Bantuan Guaman, Bahagian Sokongan Keluarga, Pejabat Penguat Kuasa Agama Islam dan Jabatan Pendakwa Syarie Negeri Perak,” katanya.

Katanya orang ramai boleh menghubungi Ketua Pendaftar di talian 012-5173194 atau Penolong Pendaftar di talian 017-5911067 sekiranya ingin mendapatkan penjelasan lanjut.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )