COVID19: Jika perlu, tangkap mereka! Tegas Mufti Perak

COVID19: Jika perlu, tangkap mereka! Tegas Mufti Perak

IPOH: Jemaah tabligh yang menyertai ijtimak di Masjid Seri Petaling di sini wajib menjalani saringan COVID-19 walaupun tidak mengalami tanda-tanda dijangkiti selepas 14 hari perhimpunan itu berakhir.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, berkata pihak berkuasa patut memburu kumpulan terbabit kerana berisiko menjadi punca wabak berkenaan terus merebak dan membahayakan orang lain.

“Jika perlu, menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk menangkap mereka.

“Mana yang pulang walaupun tiada tanda dijangkiti patut buat pemeriksaan untuk elak wabak itu terus merebak,” katanya lapor BH Online.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menjejaki 4,000 peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling yang dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Langkah itu susulan tidak semua peserta program berkenaan tampil membuat saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.

Sehubungan itu, kerajaan menasihatkan peserta ijtimak yang belum dapat dikesan supaya segera tampil membuat saringan COVID-19.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata pihak berkuasa termasuk polis boleh memburu dan menahan jemaah tabligh terbabit jika mereka enggan membuat saringan COVID-19.

Katanya, tindakan itu wajar jika jemaah terbabit disyaki menjadi punca wabak berkenaan merebak dan membahayakan orang awam.

Katanya, tindakan itu perlu bergantung kepada keadaan semasa seperti mengambil kira tempoh ijtimak tabligh berakhir sudah lebih 14 hari.

“Ijtimak itu sudah lebih 14 hari tamat, mungkin jemaah mendapati mereka tidak mempunyai simptom jangkitan COVID-19, itu sebab mereka tidak tampil buat saringan.

“Untuk lebih selamat, mereka patut tampil buat saringan tetapi jika tidak berbuat demikian, rasanya tidak perlu polis buru dan tahan sebab mungkin tiada tanda dijangkiti kerana sudah lebih 14 hari,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )