Pengunjung pasar Batu Gajah beratur panjang jadi perhatian netizen

Pengunjung pasar Batu Gajah beratur panjang jadi perhatian netizen

BATU GAJAH: Suasana di Pasar Awam Batu Gajah hari ini telah menjadi perhatian para netizen apabila para pengunjung beratur panjang dengan jarak yang selamat untuk membeli keperluan makanan.

Sejak awal subuh, sudah dapat dilihat para pengunjung beratur dengan penuh disiplin sambil diawasi oleh pihak berkuasa iaitu majlis daerah dan polis.

Para pengunjung beratur panjang hingga ke jalan besar menyebabkan ramai yang mengambil gambar dan merakam video berkongsi di media sosial.

Rata-rata netizen tertarik dan bangga dengan sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh pengunjung pelbagai kaum yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam satu kenyataan berkata, selain tidak ada sebarang kejadian tidak diingini, kesemua pengunjung di Pasar Awam Batu Gajah mematuhi garis paduan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurutnya, rata-rata para pengunjung juga didapati memakai topeng muka dan mengamalkan jarak sosial.

Mengulas lanjut katanya seramai 10 anggota polis telah ditempatkan di Pasar Awam Batu Gajah dalam penugasan polis ke atas Perintah Kawalan Pergerakan di situ.

“Penugasan itu bagi memastikan pelaksanaan urusan jual beli di Pasar Awam Batu Gajah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan kerajaan.

“Penugasan itu juga bagi memastikan had minimum keberadaan pembeli di dalam pasar bagi urusan pembelian iaitu seramai 30 orang sahaja pada satu-satu masa dipatuhi,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )