Pengerusi surau maut selepas empat hari sah positif Covid-19

Pengerusi surau maut selepas empat hari sah positif Covid-19

KUALA LUMPUR: Seorang lagi rakyat Malaysia berusia 70 tahun maut akibat jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu mencecah 11 orang.

Warga emas yang merupakan pengerusi surau di kawasan kediamannya itu mempunyai penyakit kronik.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu kes kematian tersebut adalah kes positif ke-1,070.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan).

“Beliau (arwah) mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada Februari 2020. KKM juga dimaklumkan bahawa beliau adalah pengerusi surau kawasan setempat beliau,” katanya di Facebook (FB).

Menurut Dr Noor Hisham, Allahyarham mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mac lalu.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kesihatannya merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia 22 Mac 2020 jam 9.05 malam. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” tambahnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )