Persidangan DUN Perak 14 April ditangguh

Persidangan DUN Perak 14 April ditangguh

LUMUT: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual bermula pada 14 April ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas dalam mesej ringkas menerusi aplikasi WhatsApp berkata penangguhan dibuat atas permintaan pejabat Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Persidangan akan datang bakal menyaksikan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berubah selaras dengan jajaran politik baharu yang menyaksikan Pakatan Harapan tumbang selepas Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Barisan Nasional (BN) yang semuanya Umno, Pas dan Bersatu membentuk kerajaan negeri.

Perikatan Nasional Perak mendapat mandat itu berikutan sokongan 32 daripada 59 ADUN iaitu 25 (BN), Bersatu (empat) dan Pas (tiga).

Komposisi terkini DUN Perak terdiri daripada BN (25); DAP (16); AMANAH (lima); Bersatu (empat), KeAdilan (tiga); Pas (tiga) manakala Bebas (tiga).

Jajaran politik di Perak turut menyaksikan Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 dan mengangkat sumpah jawatan pada 13 Mac lalu, namun sehingga kini pengumuman senarai nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) belum dibuat.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )