Covid-19: Masjid perlu digerakkan bantu golongan susah

Covid-19: Masjid perlu digerakkan bantu golongan susah

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Zolkharnain Abidin menggesa semua masjid digerakkkan untuk membantu meringankan beban golongan yang susah dalam suasana krisis penularan wabak Covid-19.

Kata beliau, sekarang masa yang sesuai untuk masjid berfungsi aktif tetapi bukan berfungsi sebagai tempat berkumpul untuk solat berjamaah, berkuliah atau berzikir, bertahlil beramai-ramai.

Fungsinya ialah ujar beliau, duit masjid yang terkumpul selama ini yang biasa diguna untuk bayar pengkuliah dan penceramah diguna pula untuk menyantuni anggota kariah yang terdesak.

“Ada masjid yang berduit puluhan atau ratusan ribu ringgit seperti yang tertulis di papan putih masjid. Gunalah duit itu untuk bekalkan beras dan keperluan asas kepada golongan berkeperluan seberapa segera.

“Sediakan barangan itu, letak di masjid, sediakan petugas, senaraikan penerima dan minta mereka datang ambil di masjid. Kalau mampu hantar ke rumah mereka lebih bagus, tapi ikuti peraturan Perintah Kawalan Pergerakan dengan baik.

“Usah risau duit masjid habis. Biarlah habis kerana apabila orang ramai tahu duit masjid habis kerana bantu orang susah, anggota masyarakat yang kaya akan bantu masjid lagi,” kata beliau dalam hantaran di Facebooknya.

Ujar Ustaz Zolkharnain, masjid usah fikir untuk simpan duit untuk bayar pengkuliah dan penceramah selepas fitnah ini mereda.

Katanya, jika masjid kehabisan duit untuk membayar bil eletrik, beritahu TNB bahawa masjid tidak mampu.

“Jika air nak kena potong, beritahu kerajaan negeri masjid tak mampu bayar kerana duit masjid habis diguna untuk menyantuni mustadhafin.

“Jawatankuasa masjid jangan kedekut duit masjid untuk tolong orang susah. Ingat, duit masjid bukan untuk bayar pengkuliah saja, tapi untuk bantu orang susah.

“Pengkuliah ramai yang sudah kaya. Datang kuliah naik Serena, Alphard, Volkswagen, Honda Accord, tapi pendengar kuliah datang masjid naik motor.

“Habis kuliah pengkuliah dapat upah, pendengar kuliah dapat fitnah, berita palsu dan kisah entah apa-apa. Ya, bukan semua, tapi terasalah kepada sesiapa yang mahu terasa,” kata beliau.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )