Doktor muda ini dedah kerja 16 jam lindungi orang tersayang!

Doktor muda ini dedah kerja 16 jam lindungi orang tersayang!

KUALA LUMPUR: Seorang doktor perubatan berkongsikan pengalamannya sepanjang bertugas dalam musim wabak Covid-19 ini.

Dr Wilson Tiang memberitahu semua kakitangan dari Kementerian Kesihatan telah diaktifkan untuk mengawal virus yang sudah melanda negara ini.

“Boleh bayangkan perasaan, bila memakai suit tebal, dengan bantuan oksigen, disertakan dengan panas yang banjir peluh, selama berjam-jam untuk tengok pesakit positif.

“Dalam minda sering memainkan sama aada ‘pakaian saya pakai ni betulkah? Saya bercakap dengan pesakit positif lama sangat, akan berjangkit tak?

“Mask (Topeng) saya ini ada bocor tak? Selepas interview pesakit, juga ada etika untuk menanggalkan pakaian,” ceritanya di Facebook beliau yang dikongsi ribuan pengguna media sosial itu.

Beliau mengimbas kembali insiden terlupa memakai penutup mulut dan hidung sehingga memaksanya menahan nafas ketika menguruskan pesakit.

“Teringat lagi sekali, saya tertanggal mask saya dalam bilik pesakit. Cepat tahan nafas, cuci tangan, dan keluar dari bilik untuk menarik nafas.

“Perasaan itu sangat menakutkan, dan saya telah bekerja turut menurut selama 16 jam, letih juak,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Dateline.

Sedekah doa

Semasa mula Dr Wilson dipanggil menyertai pasukan Covid-19, keluarganya di kampung pada awalnya melarang beliau berbuat demikian kerana bimbang risiko yang dihadapi.

“Masih ingat lagi, saya diderafkan masuk pasukan Covid-19. Lalu, saya minta izin keluarga di kampung untuk berkhidmat kepada negara.

“Masih ingat lagi, ayah berkata ‘Kalau boleh, jangan pergi, sangat bahaya’.

“Namun, anak derhaka ini degil, jawab balik, ‘Kalau bukan saya yang sihat muda ini pergi, siapa lagi?” ceritanya lagi.

Beliau juga memberitahu bagaimana pakarnya mengingatkannya awal-awal tentang situasi genting wabak Covid-19 yang disifatkan sebagai perang.

“Pertarungan ini akan menjadi panjang. Apa yang kamu lakukan ini adalah untuk mencegah penyakit ini daripada menjangkiti ibu bapa yang lebih tua dan anak-anak kecil kamu di rumah.

“Ini perang, untuk melindungi orang yang kamu sayangi,” ujarnya mengulang kembali pesanan pakar tersebut.

Sehubungan itu, Dr Wilson mengingatkan orang ramai agar bekerjasama bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Seluruh rakyat, serunya, diminta mematuhi arahan Kementerian Kesihatan, sabar berada di rumah dan menyedekahkan doa kepada pasukan perubatan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )